“Asyik politik sahaja. Ke mana hilangnya Tarbiyah? Demonstrasi bukan main ramai yang turun, solat jemaah di masjid habuk pun tiada!”, rungut seorang perungut di kampus.
“Tak habis-habis dengan isu Tarbiyah diri, syakhsiah dan peribadi. Di mana sensitiviti warga kampus dengan ancaman massa? Nak baiki diri sedangkan keliling penuh kemungkaran? Bagai membela anak di kandang harimau. Silap-silap, kita dan anak dua-dua dibaham sama”, keluh seorang pengeluh di kampus.
Rungutan dan keluhan silih berganti. Dalam rentetan rasa tidak puas hati itu, tercetus pelbagai reaksi warga kampus terhadap dakwah mereka sendiri.
Kerja dakwah di kampus memang mencabar. Tambahan pula cabaran itu berubah dari semasa ke semasa. Kumpulan dakwah yang gagal membaca perubahan lantas gagal mengubah strategi dan pendekatan, akan mengalami kelumpuhan sokongan dan perhatian warga kampus.
Banyak persoalan yang dilontarkan kepada saya. Serba salah mahu menjawabnya, kerana saya takut saya akan cuba memaksa pengalaman silam kepada hari ini yang sudah jauh berbeza berbanding semalam.
Mungkin serba sedikit perkongsian pengalaman sebagai bekas aktivis pelajar.. jika ada kebaikan yang dapat dikongsi bersama, mohon taufik dari Allah agar diperkembangkan ia.
Di dalam mailing list saifulislam @ yahoogroups, saya melepaskan sebahagian maklum balas kepada isu gerak kerja dakwah di kampus (mesej #1928 – #1955) untuk melihat maklum balas umum. Persoalan berkaitan sensitiviti dan kerahsiaan tidaklah begitu signifikan kerana ia adalah ‘rahsia umum’ yang diketahui semua. Kelesuan gerakan pelajar berteraskan Islam melanda hampir kesemua kampus dan kelesuan itu adalah sebahagian daripada kelesuan gerakan Islam itu sendiri, khususnya semenjak tiga atau empat tahun kebelakangan ini.
Namun, tidaklah komen-komen yang diberikan itu mendatangkan apa-apa manfaat, jika ia sekadar luahan rasa tidak puas hati dan mengumumkan kecederaan peribadi kepada ramai.
Keterlibatan seseorang di dalam aktiviti Islam di kampus, mestilah secara PRO AKTIF. Maksud saya, memang tidak dinafikan, keterlibatan kita di dalam aktiviti seperti usrah, seminar, tamrin dan sebagainya adalah ke arah untuk memperbaiki diri, tetapi melibatkan diri dalam dakwah semata-mata untuk MENERIMA, bukanlah ciri seorang mukmin yang cemerlang. Cemerlang is Better than Good or even Better than Best.
Apabila kita menyertai kerja dakwah secara proaktif, maka kita tidak akan menghukum diri dengan masalah. Jika zaman anda adalah zaman gerak kerja dakwah itu cemerlang, maka terlibatlah secara pro aktif dengan menyumbangkan sebanyak mungkin idea dan tenaga untuk meningkatkan kecemerlangan itu.
Namun jangan lupa kepada realiti kehidupan. Kita tidak sentiasa dapat apa yang kita suka, maka belajarlah untuk suka apa yang kita dapat. Jika ditakdirkan Allah, era keterlibatan kita di dalam kerja dakwah itu adalah era masalah, krisis, lesu dan bisu, maka tawarkanlah diri untuk menjadi sebahagian daripada penyelesaian.
Zaman Tarbiyah dan Politik cemerlang, kita dapat peluang untuk belajar cara melaksanakan tugas secara optimum. Zaman Tarbiyah lesu dan Politik bisu, ambillah peluang untuk belajar menyelesaikan masalah. Ia sangat mematangkan kerana realiti di dalam kehidupan pasca campus memang tidak seindah kertas kerja dan seminar.
Jika kita tidak berpuas hati dengan kumpulan yang kita sertai, kumpulan mana yang kita mahu pergi jika kesempurnaan yang dicari? Semua kumpulan yang ada adalah kumpulan manusia. Kalau manusialah nama ahlinya, kelebihan dan kekurangan adalah corak yang mesti wujud. Buat apa mengeluh dan berlari ke kanan, seketika ke kiri pula, kerana melarikan diri dari kekurangan? Tampilkan peranan… berhentilah daripada bersikap reaktif dan melarikan diri dari kekurangan. Jika anda terus berlari mengejar kesempurnaan, anda sebenarnya berlari di dalam satu pusingan yang akan berakhir di titik yang sama.
Kekurangan dan kelemahan bukannya untuk dicela atau dibenci. Ia pelajaran dari Tuhan untuk kamu. Kamu sudah ada kehidupan tahun 2007 yang penuh kesempurnaan. Maka apa salahnya kumpulan dakwah kamu diuji dengan kekurangan? Setelah hidup penuh ganjaran pahala syukur atas kesempurnaan, gunakanlah gelanggang dakwah untuk mengutip pahala sabar dan tekun memperbaiki kelemahan.
Sebab itulah dalam banyak tulisan saya, saya tegaskan, what happened to you is not as important as what happen IN YOU. Bagaimana anda memanfaatkan peluang dan bagaimana anda memanfaatkan masalah? Kedua-duanya adalah ‘musibah’ yang baik, yang Allah kurniakan sebagai guru kehidupan kita.
Katakanlah (Wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yYang telah ditetapkan Allah BAGI kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal” (At-Taubah : 51)
Semua musibah sama ada berupa kurnia mahu pun bencana, adalah ketentuan Allah UNTUK kita. Bukannya hukuman KE ATAS kita. Namun, sikap kita dalam mendepani cabaran itulah yang menentukannya. Jangan lupa diri terhadap kejayaan dan jangan lemah semangat dengan kegagalan. Sesungguhnya kejayaan itu bukannya destinasi, ia adalah sebuah perjalanan. Maka di sepanjang perjalanan dakwah di kampus, raikanlah segala kemenangan kecil, biar pun ia hanya membetulkan senget tudung seorang gadis yang naif.
Syabas kepada pemimpin pelajar yang gigih memimpin, syabas juga kepada pelajar yang gigih menentang AKU TIDAK PEDULISMA.
Pujuklah dirimu wahai si pengeluh, agar menjadi salah satu antara dua. Sama ada menjadi penyumbang kecemerlangan, atau menjadi penawar diri kepada penyelesaian. Bagi yang berjuang sekadar di pinggiran, mengeluh sepanjang zaman, sesungguhnya Syurga tidak begitu mengalu-alukan penonton yang budiman.
Erti Hidup Pada Memberi… be proactive!
Wassalamualaikum wbt.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com