Wednesday, September 22, 2010

TUA SEBELUM WAKTUNYA (artikel dr nizar abdul jalil-metro ahad)

Tulang merosot



2010/09/12

“Doktor, kenapa saya mendapat penyakit cakera tergelincir sedangkan umur baru 26 tahun?” keluh pesakit saya dari Johor. Beliau juga disahkan menghidap penyakit jantung koronari dan stent (alat mengembang salur darah yang tersumbat) dimasukkan pada beberapa saluran darah jantungnya.


Ia seolah-olah satu ‘trend’ sekarang, di mana penyakit orang tua kini mulai dihidapi orang muda. Jawapan yang biasa saya beri ialah “berlakunya proses penuaan pada tulang belakang anda yang dikenali sebagai spondilosis spina.”

Spondilosis spina ialah satu diagnosis popular di kalangan doktor untuk penyakit tulang belakang. Diagnosis ini tidak membantu dalam rangka rawatan sakit belakang anda. Sebenarnya ia hanya terma umum yang merujuk kepada proses penuaan yang berlaku pada tulang belakang.


Yang berlaku ialah proses kemerosotan struktur, integriti dan fungsi pada beberapa struktur tulang belakang sama ada membabitkan sendi (artritis), cakera, sakit diskogenik atau pada tulang dan ligamen.

Contohnya apabila cakera mengalami proses penuaan, kemerosotan dalam annulus fibrosis dan nukleus proposes di dalamnya menjadikannya lemah dan tidak mampu menyokong berat badan.

Bila dinding cakera lemah, rekahan boleh berlaku. Tekanan kuat yang berlarutan ini menjurus kepada cakera tergelincir melalui dinding yang lemah.

Sakit belakang di kalangan orang tua selalunya disebabkan proses penuaan juga. Fakta ini kita dapat terima dengan baik kerana sudah dijangka. Namun kenapa pula proses penuaan pada tulang belakang kini berlaku pada orang muda? Kenapa kita dapat penyakit tulang belakang serius di usia muda?

Apa punca utama penyakit tulang belakang di kalangan orang muda?

  • Proses penuaan sebelum waktunya — Proses penuaan pada tubuh badan disebabkan proses oksidasi oleh radikal bebas. Radikal bebas ialah molekul organik yang tidak stabil; berpunca daripada beberapa proses metabolisme tubuh. Contohnya melalui metabolisme sel lemak bagi pesakit kencing manis. Sebab itu orang kencing manis mengalami proses penuaan lebih cepat.

    Ia juga boleh dihasilkan bila tubuh terdedah kepada pencemaran air dan udara, radiasi (nuklear), asap rokok, racun rumput dan serangga.

    Sebenarnya kita tidak tahu makanan yang kita makan, air yang kita minum atau udara yang kita sedut mungkin mengandungi bahan kimia yang boleh menggalakkan pembentukan radikal bebas ini.

    Radikal bebas ini bukan saja dikaitkan dengan proses penuaan, tetapi juga kecederaan organ, beberapa jenis penyakit (sakit jantung koronari) dan kanser.

    Cara memusnahkan radikal bebas ini ialah dengan mengambil banyak antioksidan. Antioksidan banyak ditemui dalam sayur-sayuran dan buah-buahan segar yang kaya dengan vitamin E, C dan beta karotin.

    Molekul antioksidan bertindak dengan cara menghalang radikal bebas mencederakan sel dan tisu badan. Anti oksidan yang berpunca daripada diet seimbang adalah lebih baik daripada vitamin kerana mudah dihadam dan diserap tubuh.

  • Kecederaan pada masa lalu — Kecederaan lampau boleh mempercepatkan proses penuaan pada tubuh yang tercedera. Ini disebabkan tubuh yang tercedera kurang stabil dan mengalami banyak tekanan. Gejala kesakitan akan ketara beberapa tahun selepas kemalangan berlaku.

    Contohnya bagi pesakit yang menghidap artritis sendi faset pada bahagian tengkuk selalunya dikaitkan dengan kemalangan jalan raya beberapa tahun lalu. Manakala artritis sendi lutut pada usia muda selalu dikaitkan dengan kecederaan lutut lampau.

  • Gaya hidup — Postur ketika duduk, berdiri dan berjalan yang tidak sihat, ergonomik tempat kerja yang tidak seimbang antara penyebab sakit kronik di zaman moden ini. Sesetengah profesion atau sukan memberi penyakit yang khusus disebabkan penggunaan sebahagian tubuh yang terhad tapi melampau.

    Semua ini menggalakkan proses penuaan. Di samping itu, sikap suka makan banyak dan makanan kaya karbohidrat dan lemak menyebabkan kegemukan. Sikap malas bersenam pula menambah lagi masalah kegemukan di samping membuatkan paru-paru dan jantung kurang cergas.

    Diet tidak seimbang, terutama kurang serat, menyebabkan sembelit; juga memusnahkan keseimbangan bakteria baik dan jahat pada usus besar. Akibatnya pengumpulan toksin berlaku yang seterusnya menggalakkan pembentukan radikal bebas yang bertanggungjawab kepada proses penuaan. Kesibukan bekerja pula kadangkala mendorong kita untuk menangguh buang air besar, sedangkan ini memburukkan keadaan.

    Jika anda merokok atau mengambil minuman keras, keadaan menjadi lebih teruk kerana ia juga menggalakkan pembentukan radikal bebas. Ini jelas menunjukkan kebanyakan penyakit zaman moden ini disebabkan gaya hidup tidak sihat. Oleh itu sebahagian strategi rawatan ialah mengembalikan gaya hidup sihat.

  • Mempunyai penyakit atau masalah perubatan lain — Penyakit seperti kencing manis, sakit buah pinggang, auto imun (lupus atau artritis reumatoid) adalah contoh di mana pesakit mengalami proses penuaan cepat. Proses penuaan tidak semestinya berlaku di wajah tapi pada pelbagai organ, termasuk tulang belakang. Gejala paling kerap dilihat ialah gejala artritis.

    Asas pada rawatan kesakitan kronik

    Kita tidak boleh hentikan proses penuaan kerana ia proses semula jadi walaupun berlaku perlahan. Selagi hidup, kita menjadi semakin tua. Tua menjadikan kita lemah, sakit dan kurang produktif.

    Keadaan ini tentu memberi masalah pada pesakit muda. Prinsip rawatan kesakitan kronik di sini ialah mengawal kesakitan untuk kembali berkerja. Yang lebih penting ialah; bila tidak sakit, kita boleh bergerak cergas, produktif dan gembira walaupun mengalami artritis atau cakera tergelincir.

    Kita tidak perlu risau mengenai penyakit yang dialami asalkan kita tidak rasa sakit dan terus produktif. Caranya ialah mengawal rasa sakit dan melambatkan proses penuaan dengan pelbagai kaedah moden (ubat dan suntikan) senaman dan mengekalkan gaya hidup sihat
  • No comments:

    Post a Comment